ya rasuluLlah... uhibbuka...
BismiLlahirRahmanirRahim… AlhamduliLlahi Rabbil ‘alamin… “Allahumma solli ‘ala saiyidina Muhammad wa
‘ala alihi wa sohbihi wa barik wa sallim”
Tiada kata yang dapat ku ungkapkan untuk menggambarkan bahawa
aku sangat mengagumi insane yang sangat mulia ini. Hanya selawat kepadamu yang
mampu aku ungkapkan di bibir
“telah ada untuk kamu pada diri
rasuluLlah s.a.w itu uswah (contoh teladan yang wajib diikuti) yang baik bagi
mereka yang mengharapkan Allah dan hari akhirat serta yang berzikir dengan
sebanyak-banyaknya” (Al Ahzab: 21)
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia” (H.R
Bukhari)
Kenapa saya
memilih rasuluLlah s.a.w sebagai tokoh;
Ya rasuluLlah, izinkan
aku untuk menceritakan perihal keindahanmu, mudah-mudahan hati-hati kami seindah
hatimu, akhlaq kami semulia akhlaqmu. rasuluLlah s.a.w dilahirkan dalam
keturunan yang sangat mulia. Tika saat tiada syariat kerana tiada rasul
diutuskan, namun pasangan Abdullah bin Abdul Muthalib serta Aminah binti Wahab
bernikah dengan mengikut syariat Nabi Isa a.s sedangkan pada ketika itu zina
seperti perkara yang lumrah buat masyarakat di situ. Dipancarkan cahaya pada
wajah ayahnya sekalipun baginda tidak pernah bertemu dengannya. Ini
mengajarkanku erti perlunya menjaga syariat dalam apa jua keadaan agar diriku
kelak menjadi individu muslim yang bakal melahirkan zuriat yang soleh dan
solehah penerus perjuangnmu.
Lalu, dikau membesar, bekerja dan
berkahwin seperti manusia lain. Sehinggalah Allah menurunkan wahyu pertama
untukmu dalam keadaan dikau tidak mengerti apakah yang berlaku. Kerana
kemuliaanmu wahai RasuluLlah s.a.w, dikau mampu melaksanakan tanggungjawab dan
amanah yang sangat berat ini bersama para sahabat yang sentiasa di sisimu dalam
apa jua keadaan sehingga tertegaklah Islam di bumi Madinah serta ke seluruh
pelosok dunia. Lalu aku mengerti bahawa perjuangan itu memang sesuatu yang
sangat berat, perlu kepada kecekalan hati dan keazaman yang kuat. Tiadalah daya
dan upayaku melainkan hanya Allah yang mengizinkannya. Aku juga tahu bahawa ukhuwah
di dalam jalan ini sangat penting, sahabat yang baik akan membawaku kepadamu
wahai rasuluLlah s.a.w. Perlunya untuk kami bersama-sama dalam keadaan susah
mahupun senang, terkenang aku pada ketika dikau keluar berhijrah bersama
saidina Abu Bakar As Siddiq. Mengalir air mata sahabat menahan bisa ular kerana
terlalu sayang kepadamu, tidak mahu
dikau terjaga dari lenamu. Wahai RasuluLlah s.a.w, izinkan aku untuk merasai
kemanisan berukhuwah sepertimana dikau dan para sahabat.
Ya rasuluLlah s.a.w, perjuangan yang sukar
sangat memerlukan kepada perancangan dan strategi yang baik. di saat perang
Badar, saidina Abu Bakar telah memberi cadangan supaya ditukar tapak
perkhemahan sekiranya itu bukan wahyu daripadaAllah. Dengan tawadhu’, dikau
menerima cadangan itu walaupun hakikatnya tiada siapa yang lebih tinggi
darjatnya di sisi Allah melainkan dirimu. Kerna dikau yakin bahawa cadangan itu
lebih baik untuk kepentingan Islam. Dan lagi, saat dikau bersama-sama menahan
lapar bersusah payah menggali parit dalam perang Ahzab mengajarkanku erti
kepentingan tawadhu’ walaupun menjadi seorang ketua dan seorang ketua yang baik
adalah yang bekerja bersama bukan sekadar memberi arahan sahaja. Dikau
mengajarkanku bahawa aku perlu untuk menerima pendapat orang lain sekiranya itu
yang terbaik untuk Islam. Dan sungguh aku mengerti perancangan Allah itu adalah
yang terbaik tetapi sebagai manusia, kita juga perlu merancang yang terbaik
untuk perjuangan ini.
Ya rasuluLlah s.a.w… Tidak cukup
untuk menggambarkan ketinggian akhlaq dan peribadimu di sini, namun ianya akan
terus mekar dalam diriku agar aku bisa mencontohi dan mengikutimu. Ya
RasuluLlah s.a.w, kami sentiasa berselawat kepadamu. Kami ingin sekali
meneruskan langkah perjuanganmu ini bagi menegakkan Islam. Izinkan kami ya RasuluLlah
s.a.w agar kelak kami tidak segan untuk menerima syafaat darimu. Agar kelak
kami dapat bersamamu kerana kami mahu menjadi orang yang telah dikau sabdakan, “Kamu
bersama orang yang engkau cintai”… Bantulah kami agar dapat
menyempurnakan iman kami dengan mengasihi dirimu melebihi diri kami sendiri,
melebihi segala-galanya hatta ibu bapa kami sendiri. Sungguh, tiadalah daya dan
upayaku melainkan keizinan dari Allah semata-mata. Namun, kami berusaha ke arah
itu walaupun adakalanya kami tewas di pertengahan jalan. Ya rasuluLlah… Sungguh
aku sangat mencintaimu… Semoga rasa cinta inilah yang akan menjadikan kami
istiqamah dalam jalan perjuangan ini yang susah dan jauh…
“Allahumma
solli ‘ala saiyidina Muhammad wa ‘ala alihi wa sohbihi wa barik wa sallim”
Comments